BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

15 tahun maju bersama HARAPAN, ekonomi tumbuh, rizab negeri naik

SHAH ALAM, 10 MAC: Ekonomi Selangor sentiasa berkembang, namun ia tidak mungkin berada pada tahap sekarang tanpa pentadbiran kukuh dan berdaya saing sejak 15 tahun lalu.

Kemenangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya 8 Mac 2008 membolehkan gabungan parti pembangkang menunjukkan keupayaan mereka mengemudi pentadbiran negeri maju.

Wartawan ALANG BENDAHARA menyusun petunjuk utama ekonomi daripada data Jabatan Perangkaan Malaysia sepanjang 15 tahun bagi membuktikan kejayaan itu sejak pertukaran kerajaan.

KDNK

Ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) pada 2007, Selangor menyumbang 21.0 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Negeri lain seperti Kuala Lumpur sebanyak 12.8 peratus, Sarawak (10.7 peratus), Johor (9.0 peratus) dan Pulau Pinang (7.6 peratus).

Selepas Pakatan mengambil alih pemerintahan sumbangan negeri kepada KDNK melonjak kepada 21.9 peratus diikuti Kuala Lumpur (13.4 peratus), Sarawak (10.2 peratus), Johor (8.9 peratus), dan Pulau Pinang (7.6 peratus).

Pada 2020 ketika wabak Covid-19 melanda, tadbir urus cekap Kerajaan Selangor mengekalkan kedudukan negeri sebagai penyumbang terbesar KDNK pada 22.8 peratus, diikuti Kuala Lumpur (21.8 peratus), Sarawak (12 peratus), Sabah (10.1 peratus) dan Johor (7.7 peratus).

Perangkaan terkini pada 2021 menunjukkan Selangor kekal ekonomi terbesar dengan sumbangan hampir suku daripada KDNK pada 24.8 peratus, diikuti Kuala Lumpur (15.7 peratus), Sarawak (9.5 peratus), Johor (9.5 peratus), Pulau Pinang (7.1 peratus) dan Sabah (5.7 peratus).

Rancangan Selangor Pertama (RS-1) antara 2021 hingga 2025 menyasarkan KDNK Selangor berkembang secara purata antara 6.5 hingga 7.0 peratus setahun.

Rizab

Rizab negeri terdiri daripada wang tunai dan pelaburan yang dipegang bagi ketiga-tiga Kumpulan Wang Disatukan iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan.

Ketika BN memerintah Selangor pada 2006, rizab sebanyak RM991.75 juta dan pada 2007 pula berjumlah RM1.39 bilion.

Apabila Pakatan mula memerintah Selangor pada 2008 ia meningkat kepada RM1.4 bilion, kemudian menurun sedikit pada 2009 (RM1.3 bilion), diikuti 2010 (RM1.6 bilion) dan RM1.9 bilion pada 2011.

Pada 2012, rizab mencecah RM2.6 bilion, diikuti RM2.9 bilion pada 2013. Kejayaan itu berterusan apabila pada 2014 ia mencatatkan jumlah RM3.2 bilion.

Pada 16 Oktober 2022, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan rizab Selangor terkini sebanyak RM3.4 bilion.

Pendapatan isi rumah

Perangkaan 2007 menunjukkan pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah di Selangor RM4,046 berbanding negara pada RM2,552.

Pada 2009, ia meningkat RM4,306 berbanding RM2,841 bagi Malaysia. Pada 2016, pendapatan isi rumah Selangor melompat kepada RM7,225.

Pada 2019, pendapatan isi rumah Selangor mencecah tahap tertinggi sejak 2007 kepada RM8,210 berbanding Malaysia pada RM5,873.

Namun pada 2020, pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah Malaysia merosot 11.3 peratus kepada RM5,209 akibat pandemik, di mana Selangor juga turun 11.1 peratus kepada RM7,300.

Kecuali ketika era pendemik, peningkatan pendapatan isi rumah menaik kerana kerancakan ekonomi seiring dengan prestasi pertumbuhan negara.

Kerajaan Negeri menyasarkan pendapatan isi rumah meningkat kepada RM9,290 pada 2025, hujung RS-1 yang bermula pada 2021.

Kadar pengangguran

Pada 2007, pengangguran pada tahap 3.0 peratus. Selepas perubahan pentadbiran, ia menurun kepada 2.4 peratus.

Pengangguran pernah berada di tahap terendah pada 2014 apabila ia turun ke 2.0 peratus. Bagaimanapun ketika pandemik pada 2020, kadar dicatatkan 4.3 peratus kerana ramai hilang pekerjaan.

Akibat kelembapan ekonomi susulan Covid-19, pengangguran Selangor pada 2021 tidak berjaya diturunkan.

Pada suku keempat 2022 kadar pengangguran turun pada 2.9 peratus. Penurunan itu dibantu banyak program mencari dan padanan pekerjaan oleh Kerajaan Negeri.

Antaranya, program Selangor Kerjaya yang membantu menurunkan pengangguran negeri diteruskan menerusi Belanjawan Selangor 2023 dengan peruntukan RM1.4 juta tahun ini.


Pengarang :