Petugas menyediakan barangan untuk dijual pada Jelajah Ehsan Rakyat (JER) DUN Taman Templer di Kampung Bendahara, Batu Caves pada 8 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Program bersasar ganti jualan murah barangan asas

SHAH ALAM, 17 MAC: Jelajah Ehsan Rakyat (JER) bakal diganti dengan program baharu yang lebih bersasar bagi meringankan beban belanja penduduk, kata EXCO pemodenan pertanian.

Ir Izham Hashim menjelaskan program lebih mampan akan dilaksana dengan kerjasama beberapa pihak lain termasuk agensi kerajaan persekutuan, dijangka pertengahan tahun ini.

“JER merupakan program intervensi bagi membantu penduduk terutama berpendapatan rendah berdepan kenaikan harga makanan ketika pascapandemik Covid-19.

“Tidak wajar ia dilaksana berterusan. Jadi selepas Mei kita ada kaedah baharu yang lebih baik dan mampan. Mungkin juga ada kerjasama dengan Menu Rahmah,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Menjawab soalan wakil rakyat Sungai Ramal Mazwan Johar berhubung JER,  Ir Izham berkata jualan enam produk utama membantu pembeli berjimat 40 peratus berbanding harga pasaran.

“Kerajaan Negeri komited membantu penduduk dengan kaedah baharu yang dapat menangani kos kenaikan harga barang,” katanya yang juga wakil rakyat Pandan Indah.

Jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dianjur di sembilan lokasi setiap hari kecuali Jumaat dari 9 pagi hingga 1 tengah hari sejak 15 Januari.

Program menawarkan produk seperti ayam standard RM10 seekor, daging pejal (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).


Pengarang :