EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berucap semasa program Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Sabak Bernam di Pentas Utama Bagan Terap, Sabak Bernam pada 19 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pembangunan kawasan Sabak Bernam lancar, beberapa projek bakal bermula

SABAK BERNAM, 19 MAC: Projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) menunjukkan perkembangan positif apabila beberapa projek bakal dimulakan sejurus mendapat kelulusan.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata antaranya termasuklah projek pertanian moden di Taman Agro Pintar Selangor (SSAP), Changkat Menteri di sini seluas 2,000 ekar yang sudah mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ir Izham Hashim memaklumkan pembangunan semula Hay Resort kini diperingkat akhir kelulusan, manakala industri hiliran hasil laut dan agro makanan di Sungai Lang pula dalam proses memohon kebenaran merancang (KM).

EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berucap semasa program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Sabak Bernam di Pentas Utama Bagan Terap, Sabak Bernam pada 19 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Projek SABDA berjalan dengan baik walaupun kita terkesan juga semasa pandemik Covid-19. Kita buat berperingkat, mana-mana projek yang sudah sedia kita terus masuk ke KM.

“Projek berkaitan di bawah pengawasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang akan mengurus proses menender dan sebagainya,” katanya di Bagan Terap, Sungai Besar di sini hari ini.

Bercakap sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat daerah Sabak Bernam, Ir Izham berkata pelaksanaan projek berkaitan membantu menjana peluang kerja sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Kita sudah nampak peluang kerja untuk penduduk Sabak Bernam, malah hasil pertanian semakin baik dan masing-masing mula beri tumpuan mengusahakan tanah-tanah.

“Insya-Allah saya yakin selepas ini apabila makin banyak industri akan membantu pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plak ketika merasmikan Logo Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 15 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

SABDA antara agenda terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang diumum Julai tahun lalu membabitkan pembangunan tanaman bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi.

Pembangunan berkeluasan 1,317 hektar dengan nilai pelaburan RM1.9 bilion dianggar memberi pulangan hasil RM248 juta setahun.

Projek utama dalam senarai SABDA antara lain pembangunan Kompleks Pendaratan Ikan Sekinchan, Pembinaan Rehat dan Rawat (R&R) dan Pusat Perniagaan Air Manis.


Pengarang :