Oleh SHAMZ JOHAN
SHAH ALAM, 23 MAC: Lebih 500 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal menerima baucar bantuan Kembali Ke Sekolah di Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi pada Sabtu lalu.
Wakil rakyatnya Mazwan Johar berkata selain baucar RM100, pelajar turut menerima kelengkapan persekolahan melalui kerjasama bersama Ahli Majlis.
“Sejumlah 500 penerima telah menerima baucar bantuan termasuk sumbangan Ahli Majlis MPKj Zon 16, 17, dan 18 berupa beg sekolah dan set kelengkapan alat tulis serta buku,” katanya di Facebook.
Mazwan menambah, untuk julung kali pelajar di DUN berkenaan akan menerima pembiayaan pembukaan akaun Tabung Haji.
“Istimewa tahun ini, saya membuat kerjasama dengan Tabung Haji cawangan Bangi kepada untuk memberikan insentif RM10 kepada penerima baucar bagi pembukaan akaun Tabung Haji.
“Bagi mereka yang sudah ada (akaun), nilai tersebut akan disumbangkan ke dalam akaun mereka dan kita berharap agar semua pelajar teruja serta dapat menyemai budaya menabung,” katanya lagi.
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM1.68 juta menerusi Program Kembali ke Sekolah (Back To School) tahun ini.