EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berucap ketika merasmikan Bengkel Pelan Tindakan Bandar Pintar Shah Alam 2023-2030 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 29 Mac 2023. Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Ambil gambar kenderaan dihempap pokok, lapor polis sebelum buat tuntutan kepada PBT

SHAH ALAM, 30 MAC: Pemilik kenderaan yang terlibat insiden dihempap pokok perlu menangkap gambar keadaan kereta dan melaporkan kepada polis bagi membuat tuntutan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas kejadian di Jalan Anggerik Mokara Kota Kemuning, kelmarin, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata mangsa tidak sewajarnya menghalang pihak berkuasa menjalankan kerja pengalihan dahan pokok.

“Mangsa (pemilik kenderaan dihempap pokok) tidak perlu menghalang pihak berkuasa membuat kerja atas alasan mahu menunggu pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tiba ke lokasi terlebih dahulu.

“Sebaliknya, mereka perlu ambil gambar dan cara itu sudah membolehkan mereka membuat tuntutan kepada PBT kerana setiap PBT ada insurans liabiliti (tanggungan awam),” katanya.

Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid menyampaikan cenderahati kepada EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han yang merasmikan Bengkel Pelan Tindakan Bandar Pintar Shah Alam 2023-2030 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 29 Mac 2023. Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam

Terdahulu beliau merasmikan Bengkel Pelan Tindakan Bandar Pintar Shah Alam 2023-2030 di Pusat Konvensyen MBSA di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua bahagian korporat dan perhubungan awam MBSA berkata mangsa boleh membuat tuntutan dengan hadir ke Jabatan Khidmat Pengurusan Tingkat 1 Wisma MBSA.

Shahrin Ahmad menjelaskan individu berkenaan hanya perlu membawa surat laporan polis, gambar kenderaan ketika ditimpa musibah, geran kenderaan untuk menuntut ganti rugi berkenaan.

“Bagaimanapun, tuntutan hanya diberi sekiranya pokok yang menghempap kenderaan terbabit adalah kepunyaan MBSA dan anggaran tuntutan akan diberi dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Kelmarin, Bomba Selangor melaporkan berlaku kejadian pokok tumbang menghempap sebuah kereta.

Dalam kejadian lewat petang hari berkenaan, pihaknya bertindak mengalihkan dahan, namun dihalang oleh pemilik kenderaan dengan alasan mahu menunggu MBSA hadir ke lokasi bagi tujuan tuntutan.


Pengarang :