ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin meninjau program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Bandar Utama tumpu jualan murah di kawasan kampung, tangani kos sara hidup

Oleh Diana Abd Wahab

PETALING JAYA , 1 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama memfokuskan kawasan kampung dalam kawasannya bagi menganjurkan Jelajah Ehsan Rakyat (JER).

Jamaliah Jamaluddin berkata inisiatif itu bertujuan meringankan beban penduduk berpendapatan rendah (B40) di kawasan tersebut.

“Usaha ini bagi bantu penduduk khususnya golongan B40 supaya mereka dapat beli barangan yang diperlukan terutama pada Ramadan serta menjelang Aidilfitri.

“Istimewanya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama ini, kita ada kampung masyarakat Cina dan kampung tradisi Melayu jadi kita anjurkan jualan murah di kedua-dua kawasan bagi bantu lebih ramai penduduk,” katanya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu beliau meninjau operasi jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di gelanggang bola keranjang Kampung Cempaka di sini, hari ini.

Menurut Jamaliah program  yang dilaksana Kerajaan Negeri bagi menangani  isu kos sara hidup rakyat mendapat sambutan hebat setiap kali dianjurkan.

“Memandangkan sambutan amat menggalakkan maka sepanjang tiga kali penganjuran jualan murah sebelum ini maka kita hadkan pembelian agar semua penduduk berpeluang beli semua barangan yang ditawarkan.

“Bagi berlaku adil kita hadkan pembelian dua ekor ayam dan sepapan telur bagi setiap pengunjung,” katanya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

JER menawarkan barangan asas lebih murah berbanding harga pasaran iaitu  ayam standard RM10 seekor, papan telur gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), ikan kembung (RM6 setiap pek), beras lima kilogram (RM10 sekampit) dan minyak masak lima kilogram (RM25 sebotol).

Sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember lepas, JER berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor.

Susulan sambutan menggalakkan, jualan murah itu diperluas ke 1,200 lokasi sejak 16 Januari hingga menjelang Mei.

Pengarang :