Oleh AZIAN AZIZ
SELAYANG, 3 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua akan menganjur program Mantai Perdana untuk penduduk membeli barangan asas pada harga murah sebagai persiapan raya.
Pengurus Pusat Khidmat Rakyat berkata program di Dataran Niaga Siantan, Selayang Mutiara pada 20 April menjual ayam, daging, telur, sayur, beras dan barangan kering.
“Kita akan mendapatkan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).
“Selain itu kita mungkin beri peluang kepada peniaga yang ingin menjual kuih-muih dan baju,” kata Maimon Misman.
Beliau ditemui pada Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat DUN itu di Medan Batu Caves semalam. Program itu akan dianjurkan lagi pada 12, 13 dan 16 April.
Tambah beliau pihaknya juga akan mengedar 1,500 bubur lambuk di Kampung Laksamana dan pada 6 April.
Menurut Maimon, program Bubur Lambuk Perdana hasil kerjasama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jawatankuasa Penduduk (JKP)
“Kita akan masak lima periuk besar bubur lambuk dan isi dalam 1,500 bekas makanan untuk diedarkan kepada orang ramai. Kita juga akan tambah bubur manis,” ujarnya.