PBTSELANGOR

MPS pelawa orang ramai beri maklum balas, pandangan Belanjawan 2024

SHAH ALAM,3 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mempelawa penduduk setempat memberi maklum balas dan pandangan dalam merangka belanjawan 2024 bermula 1 hingga 22 April depan.

Menurut unit perhubungan awam jabatan korporatnya maklum balas dan pandangan itu diperlukan bagi memastikan belanjawan yang bakal dirangka dapat memenuhi keperluan pemegang taruh MPS dan disediakan secara komprehensif.

“MPS berharap penduduk dapat mengambil peluang ini untuk memberikan idea dan cadangan bagi memastikan Belanjawan MPS 2024 dapat disediakan mengikut keperluan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, MPS menyediakan hadiah wang tunai RM100 kepada 20 responden yang mengisi maklumat dan menjawab kaji selidik ini dengan lengkap.

“Cabutan akan dibuat secara rawak dan senarai pemenang akan diumumkan di laman web rasmi dan platform media sosial MPS pada 15 Mei nanti,” katanya.

Orang ramai boleh menjawab kaji selidik ini melalui pautan https://forms.gle/nb695X9bCt6UbscVA. Sebarang pertanyaan boleh hubungi Jabatan Korporat MPS di talian 03- 6126 5800 atau emel di [email protected].


Pengarang :