Wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghulurkan sumbangan kepada salah seorang mangsa kebakaran di Klang. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS, Yide santuni tiga keluarga mangsa kebakaran di Klang

Oleh Nur Aishah Mohd Amin

SHAH ALAM, 4 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyantuni tiga keluarga yang terlibat kebakaran di Kampung Delek Kanan, Klang.

Agensi itu menyalur sumbangan kecemasan segera dan mendaftar mangsa sebagai asnaf fakir miskin yang akan menerima bantuan sara hidup, pendidikan dan kelengkapan raya.

“Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan untuk hadapi ujian ini di bulan penuh keberkatan,” katanya menerusi Facebook.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Kakitangan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Mohd Salim Mohamed Sain menyerah sumbangan kepada salah seorang keluarga terjejas kebakaran di Kampung Delek Kanan, Klang pada 3 April 2023. Foto Facebook Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide)

Manakala Yide pula menyerahkan RM500 kepada setiap keluarga selain pek Kasih Yide yang mengandungi barangan keperluan harian.

“Yide menzahirkan penghargaan terima kasih atas sumbangan orang ramai yang diberikan dan hari ini sumbangan kalian telah Yide salurkan kepada golongan sasar,” katanya di Facebook.

Agensi itu turut mengalu-alukan orang ramai yang ingin membantu mangsa terlibat musibah dengan menyumbang di pautan http://pay.infaqyide.com.my

Dalam kejadian 1 April lalu tiga rumah hangus dijilat api yang turut menjejaskan ibu tunggal lima anak yang baharu kematian suami pada Februari lepas.


Pengarang :