Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memeriksa kualiti air di Sungai Gong, Rawang yang mencatat peningkatan yang baik selepas menggunakan rawatan biologikal. Foto Facebook LUAS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Projek rintis rawatan biologikal Sungai Gong tingkat kualiti, kuantiti sumber air

SHAH ALAM, 4 APRIL: Kualiti air di kawasan Sungai Gong, Rawang mencatat peningkatan yang baik selepas menggunakan rawatan biologikal menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM).

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan sumber air yang keruh di sungai tersebut kini lebih bersih hasil daripada pengurangan sedimen terkumpul.

“Hasil semakan LUAS, kualiti air di kawasan Sungai Gong mencatatkan peningkatan yang baik susulan penghasilan air beroksigen semula jadi melalui projek ini yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri menerusi pihak dilantik iaitu NUAIM Corporation Sdn Bhd dan dipantau oleh LUAS.

“Projek perintis rawatan biologikal merupakan kaedah penyelesaian jangka masa pendek untuk menangani isu pencemaran di Sungai Gong dan seterusnya meminimakan insiden henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor,” katanya di Facebook.

LUAS memaklumkan SJAM merupakan salah satu inisiatif menangani permasalahan kualiti dan kuantiti sumber air. Ia juga antara langkah penyelesaian bagi insiden pencemaran sungai dan kekurangan air mentah dari hulu sehingga ke hilir.

Kualiti air di Sungai Gong, Rawang mencatat peningkatan yang baik selepas menggunakan rawatan biologikal menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM). Foto Facebook LUAS

Pada 16 Februari, EXCO infrastruktur berkata sistem sokongan bekalan yang masih dalam pembinaan di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih bakal mengatasi masalah penyaluran air kepada orang ramai meski pencemaran berlaku.

Ir Izham Hashim menjelaskan sumber air mentah alternatif daripada Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600 di Sungai Selangor dan kolam takungan (Pond C) di Sungai Semenyih menyediakan sehingga 67 peratus bekalan.

Jelas beliau, kedua-dua projek tersebut membantu menghalang loji rawatan air (LRA) daripada merawat sumber air tercemar dari sungai sehingga masalah kualiti air diselesaikan sekali gus mengelakkan henti tugas.

“Biasanya, LRA Sungai Semenyih menerima air terus dari sungai tetapi dengan adanya kolam takungan, ia digunakan jika berlaku pencemaran di sungai.

“Apabila pencemaran dikesan, kita alih air sungai daripada masuk ke LRA dan gunakan kolam. Ia mampu bertahan sehingga lima hari,” katanya merujuk pelaksanaan inisiatif SJAM.

Izham menambah kedua-dua projek yang menelan kos RM85 juta dan 54 peratus siap dijangka beroperasi pada Oktober ini seterusnya mengatasi isu bekalan di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.


Pengarang :