Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara Ng Sze Han mengedarkan kupon makanan kepada pengunjung bazar Ramadan BK 5, yang membawa bekas makanan sendiri di Bandar Kinrara, Subang Jaya pada 4 April 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

200 pengunjung bawa bekas sendiri ke bazar Ramadan dapat kupon RM10

SUBANG JAYA, 4 APRIL: 200 pengunjung terawal bazar Ramadan BK 5, Bandar Kinrara di sini yang membawa bekas makanan sendiri menerima kupon makanan bernilai RM10 setiap seorang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara Ng Sze Han berkata kupon berkenaan boleh digunakan mereka untuk membeli juadah di bazar Ramadan berkenaan hari ini.

“Program ini selaras kempen sayangi bumi kita untuk menggalakkan budaya bebas plastik dengan pelanggan membawa bekas sendiri.

“Pemberian kupon makanan ini sebagai usaha menyokong inisiatif pengunjung yang membawa bekas sendiri untuk membeli makanan,” katanya ketika ditemui selepas program walkabout bazar Ramadan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sini, hari ini.

Sze Han yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata 100 kupon disumbangkan MBSJ manakala 100 lagi daripada pejabat ADN Kinrara.

MBSJ sebelum ini memaklumkan bagi menarik minat pengunjung menyokong kempen kelestarian alam sekitar, pihaknya mengambil inisiatif mengedarkan kupon makanan bernilai RM10 kepada 100 pengunjung terawal bazar Ramadan yang membawa bekas makanan di lokasi terpilih.


Pengarang :