Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dan beramah mesra dengan sebahagian komuniti pendidik yang hadir di Majlis Iftar Perdana bersama komuniti Pendidik Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar pada 4 April 2023. Foto RADEN WAZIR
AGENDANASIONALSELANGOR

MB: Tumpu atasi isu guru agama, rancang lebih banyak jawatan tetap

SHAH ALAM, 4 APRIL: Kerajaan Selangor berusaha bagi menangani isu perjawatan guru sekolah agama di negeri ini pada masa depan.

Dato’ Menteri Besar berkata perancangan mewujudkan pengredan dan perjawatan tetap lebih banyak terhadap guru terbabit sedang dibincang bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Dalam tempoh lima tahun kalau semua transisi (pentadbiran) berjalan dengan baik, semua guru-guru ini akan dilatih dan dipilih mungkin bawah Jais atau Yayasan Selangor (YS).

“Ini bagi memastikan penggajian, pengredan dan tidak ketinggalan perjawatan tetap dapat diwujudkan dengan lebih banyak untuk guru agama.

“Ini perancangan yang kita buat. Saya pun sudah bincang dengan Pengarah Jais (Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad) bagaimana mahu perkasa guru berkenaan. Jika tidak, perkembangan karier (guru) akan tergugat di beberapa ketika,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap sempena majlis iftar perdana bersama komuniti pendidik Selangor yang dihadiri kira-kira 700 guru bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Jais di kediaman rasminya di Seksyen 7, di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura sumbangan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) Tahun 2023 dan inisiatif menangani kemiskinan haid di sekolah kepada Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek pada Majlis Iftar Perdana bersama Komuniti Pendidik Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar pada 4 April 2023. Foto RADEN WAZIR

Dalam pada itu, Amirudin menambah Kerajaan Negeri juga sedang memusatkan semua inisiatif pendidikan di Selangor termasuk biasiswa dan pinjaman pelajaran kepada YS.

“Ini kerana YS merupakan institusi pendidikan negeri yang telah berkhidmat dan berbakti kepada Selangor sejak sekian lama.

“Sekarang kita mahu perkasanya untuk melihat keseluruhan sekolah menengah, sekolah kebangsaan dan sekolah agama di masa depan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata majlis berbuka puasa yang kembali dianjur selepas terhenti beberapa tahun akibat pandemik peluang terbaik untuk bertemu dan merapatkan hubungan dengan warga pendidik negeri ini.

“Alhamdulillah, ia bukan pertama kali dianjurkan sebaliknya hampir setiap tahun namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini kita terpaksa hentikan akibat serangan Covid-19.

“Kali ini kita dapat bersama-sama beramah mesra selain membantu memperkukuh agenda pendidikan di negeri dan negara,” katanya.


Pengarang :