SHAH ALAM, 5 APRIL: Festival Usahawan Gempak sempena Aidilfitri yang berlangsung di Stadium Malawati mulai Jumaat ini menawarkan Baucar Rahmah berjumlah RM40,000 untuk ditebus pengunjung.
Acara anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) turut menyediakan cabutan bertuah sehingga RM20,000 termasuk motosikal, televisyen dan barangan elektrik.
Program tiga hari sehingga 9 April juga disertai beberapa artis terkenal antaranya penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Lah Ahmad, Ruhainies dan Uyaina Arshad.
Sebelum ini, EXCO Industri Kecil dan Sederhana Dato’ Teng Chang Khim mengumumkan penganjuran festival berkenaan yang menawarkan pelbagai barangan keperluan dengan diskaun menarik.
Beliau berkata inisiatif Smart Raya Selangor 2023 itu juga menghimpunkan 150 usahawan tempatan antaranya syarikat SimplySiti, Farm Fresh, Elrah Exclusive, Hush Puppies dan Wonderlab (CUCKOO).
Turut serta dalam program bermula 10 pagi itu ialah CK Rahim, Obermain, Samu Giken, Inai Scarves dan Absolut Chocolate selain jualan kendera saji, Jelajah Ehsan Rakyat dan pelbagai pertandingan.