Kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berkaitan penularan artikel memfitnah pihak berkuasa tempatan itu di laman sosial. Foto Facebook MPK
PBTSELANGOR

MPK junjung tinggi integriti, nafi wujud unsur salah guna kuasa

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 5 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menafikan wujud unsur salah guna kuasa atau rasuah dalam menjalankan penguatkuasaan di kawasan pentadbirannya.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menegaskan pihaknya sentiasa menjunjung tinggi etika dan integriti dalam melaksanakan tugas malah tidak berkompromi dalam isu salah guna kuasa oleh kakitangannya.

“Pihak MPK juga mengalu-alukan sebarang aduan berkaitan salah laku kakitangan oleh mana-mana pihak termasuk pempengaruh media sosial,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Agensi itu memaklumkan orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan salah laku kakitangannya menerusi e-mel [email protected] atau hubungi talian 03-3375 5555 sambungan 4116.

MPK menegaskan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah yang boleh menjatuhkan imej dan nama baiknya.

Ia susulan penularan artikel di media sosial menerusi blog ‘The Corporate Secret’ yang menyiarkan penulisan bertajuk ‘Doshin Rubber, Anak Syarikat Kossan bayar rasuah elak Tindakan Majlis Perbandaran Klang?’

PBT itu menegaskan terdapat kenyataan berbaur fitnah dalam artikel tersebut.

“Susulan itu,pihak MPK telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berkenaan artikel ini.

“Ia disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, ” katanya.


Pengarang :