Foto Facebook Mazwan Johar
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Sungai Ramal pelawa suri rumah mohon skim perlindungan

SHAH ALAM, 5 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal mempelawa suri rumah di kawasan itu untuk memohon pembiayaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah.

Wakil rakyatnya Mazwan Johar berkata golongan berkenaan hanya perlu membayar RM60 manakala bakinya (RM60) akan dibiayai oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Ramal.

“Caruman sebanyak RM120 setahun ini bagi membolehkan suri rumah mendapat perlindungan kerana mereka juga terdedah kepada kemalangan sama ada di dalam atau luar rumah.

“Justeru, amatlah wajar suri rumah ini turut mendapat perlindungan seperti golongan yang bekerja,” katanya menerusi Facebook.

Suri rumah yang berminat boleh memohon secara terus dengan hadir ke Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Ramal untuk mengisi borang dan membawa dokumen seperti salinan kad pengenalan dan wang tunai RM60.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi menerusi talian 03-8928 9738.

Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah diperkenalkan kerajaan persekutuan pada Disember tahun lalu bagi memberi perlindungan kepada suri rumah menerusi faedah hilang upaya kekal, perubatan dan pemulihan, elaun keuzuran, bantuan dialisis, pencen penakat dan pengurusan mayat.

Inisiatif di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu tidak terikat dengan rutin seharian dalam kediaman, namun mencakupi hal berkaitan antaranya menjaga anak atau ibu dan bapa warga emas, menghantar dan mengambil anak dari sekolah, membawa ibu bapa ke janji temu doktor, membeli barang keperluan di pasar.

 

 


Pengarang :