Pengasuh Adibah Nor Mokles, 32, melakukan aktiviti membaca bersama kanak-kanak ketika pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ibu bapa dipelawa mohon insentif RM100 yuran tadika, terhad dua anak

SHAH ALAM, 6 APRIL: Seramai 3,355 kanak-kanak berusia lima dan enam tahun berpeluang menerima insentif penjagaan tadika berjumlah RM100 sebulan, kata Yayasan Warisan Anak Selangor.

Penolong Pengurus Korporat Sharizan Mohd  Shariff berkata pendaftaran Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) masih dibuka bagi memastikan keluarga benar-benar layak mendapat manfaatnya.

“Kita mengutamakan ibu bapa yang bekerja dan menghantar anak mereka di mana-mana tadika berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Kelulusan terhad kepada dua anak untuk satu-satu keluarga. Insentif RM100 seorang ini akan dibayar secara terus kepada pemilik tadika,” katanya kepada SelangorKini.

Sharizan berkata inisiatif ditawarkan kepada keluarga berpendapatan isi rumah bawah RM5,000 selain kanak-kanak lahir dan tinggal di negeri ini.

“Syarat lain ialah ibu dan bapa juga mestilah pengundi berdaftar di Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya.

Permohonan boleh dibuat menerusi laman sesawang http://tunas.yawas.my/. Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian  03-5481 8800 atau layari laman sosial Facebook dan Instagram Yawas serta Youtube Yawas TV.


Pengarang :