Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid dan surau  sempena majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau di Kampung Kenanga Rawang  pada 2 April 2023. Foto Facebook Chua Wei Kiat
ADNSELANGOR

DUN Rawang peruntuk lebih RM35,000 bantu masjid, surau laksana program Ramadan

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 6 APRIL:   Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang menyediakan peruntukan berjumlah RM35,600 bagi menampung perbelanjaan dan pengurusan masjid serta surau sepanjang Ramadan ini.

Wakil rakyatnya Chua Wei Kiat berkata daripada jumlah itu pihaknya menyumbang RM2,000 kepada lima masjid manakala 32 surau masing-masing menerima sebanyak RM800.

“Sumbangan ini bagi menampung perbelanjaan serta pengurusan institusi terbabit termasuk kos program atau insiatif  Ramadan. Kita tahu bahawa masjid dan surau merupakan pusat keagamaan yang penting bagi masyarakat Islam di negara ini.

“Jadi saya yakin dengan sumbangan yang diberikan ini dapat membantu menaik taraf nilai kehidupan mereka,” katanya di Facebook.

Beliau berkata bagi mengimarahkan Ramadan, pihaknya menganjurkan aktiviti antaranya mengedarkan bubur lambuk dan kurma di bazar Ramadan sekitar selain menganjurkan majlis berbuka puasa bersama penduduk setempat.


Pengarang :