OLEH AZIAN AZIZ
SHAH ALAM, 6 APRIL: Seramai 100 penduduk kurang berkemampuan dari beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) dirai dan diberikan sumbangan makanan asas kelmarin sempena Ramadan.
EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau memaklumkan program yang dianjurkan sejak 2017 meliputi agihan beras, tepung, gula, biskut, makanan dalam tin dan susu.
Beliau berkata penerima sumbangan membabitkan DUN Kota Kemuning, DUN Batu Tiga, DUN Sungai Kandis, DUN Kota Anggerik dan Kelab Kebajikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor.
“Kita raikan mereka dalam majlis berbuka puasa dan memberikan sedikit sumbangan makanan asas sebagai persediaan menjalani ibadah puasa dan bagi membantu meringankan beban mereka,” katanya.
Beliau turut berharap program itu memupuk nilai murni dalam kalangan masyarakat untuk terus membantu golongan kurang berkemampuan tanpa mengira kaum dan waktu.