Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 6 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting menganjurkan bengkel membuat biskut raya khusus untuk golongan wanita secara percuma pada 16 April
Wakil rakyatnya Lau Weng San berkata bengkel yang berlangsung di Balai Raya Taman Mentari, Bandar Mahkota menawarkan kursus membuat Almond London dan mazola kacang.
“Bengkel ini dianjurkan untuk meningkatkan kemahiran wanita DUN Banting supaya mereka dapat kuasai kemahiran hasilkan biskut raya.
“Kita harap kemahiran yang diperoleh menerusi bengkel ini boleh digunakan bagi membantu mereka menjana pendapatan khususnya pada musim perayaan,” kata ketika dihubungi.
Weng San berkata program yang kali kedua dianjurkan tahun ini dilaksana dengan kerjasama Ahli Majlis Perbandaran Kuala Langat Zon 13 dan Pusat Wanita Berdaya Selangor (PWB) DUN Banting.
Beliau berkata pihaknya akan terus menganjurkan program sebegini lagi untuk memperkasa golongan wanita sekali gus meningkatkan penglibatan mereka dalam perniagaan.
“ini kali kedua kita anjurkan program sebegini di DUN Banting dan kita terima sambutan di luar jangkaan dan melebihi sasaran di mana lebih 40 orang mendaftar bagi program ini.
“Namun bagi memastikan tenaga pengajar dapat memberi tumpuan penuh dan peserta dapat belajar dengan selesa kita terpaksa pilih dan terima hanya 30 peserta,” katanya.