Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama pelajar Yayasan Selangor mendengar tazkirah disampaikan Pencetus Ummah (PU) Amin selepas solat Subuh sempena Rewang Sahur dan Sambutan Nuzul al-Quran di Asrama Yayasan Selangor, Klang pada 8 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB sahur, Subuh berjemaah bersama 300 pelajar Yayasan Selangor

KLANG, 8 APRIL: Buat julung kali Dato’ Menteri Besar bersahur bersama pelajar Yayasan Selangor menerusi program Rewang Sahur dan sambutan Nuzul al-Quran pagi ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari tiba jam 4.30 pagi di asrama Yayasan Selangor Klang disambut lebih 300 pelajar diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Eddie Ahmad Khodzali.

Beliau yang juga pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor berkata program itu sebagai tanda mengingati turunnya al-Quran dan mendekatkan diri dengan Allah SWT.

“Semoga aktiviti Ramadan ini dapat mendidik kita semua menjadi manusia yang betul-betul berbakti pada diri dan Allah SWT serta menjalankan tugas dengan baik.

“Selain itu, program ini bukan sahaja kita berkumpul sahur tetapi dapat memahami dan meneliti kandungan al-Quran supaya ia menjadi pedoman dan petunjuk dalam kehidupan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersahur bersama pelajar Yayasan Selangor sempena Rewang Sahur dan sambutan Nuzul al-Quran di Asrama Yayasan Selangor, Klang pada 8 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, Amirudin menyampaikan sumbangan berbentuk makanan dan duit raya kepada pelajar berkenaan.

Beliau turut menunaikan solat Subuh berjemaah selain mengikuti kuliah bertajuk Hikmah Nuzul al-Quran yang disampaikan penceramah PU Amin.

Sementara itu, Eddie berkata program tersebut sangat bermakna kerana memberi peluang untuk berkumpul dalam suasana kebersamaan dan kasih sayang.

“Malah, melalui program ini kita juga dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain serta mengukuhkan lagi hubungan kerjasama yang telah terjalin sebelum ini.

“Mengambil semangat Kita Selangor, Yayasan Selangor akan lebih agresif bagi memastikan sektor pendidikan lebih komprehensif dalam memenuhi keperluan individu dan masyarakat,” katanya.


Pengarang :