Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Noraini Roslan (tengah) dan Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau (kiri) berbincang dengan peniaga ketika meninjau Pasar Besar Meru, Klang pada 7 April 2023. Foto Facebook V Ganabatirau
PBTSELANGOR

MPK larang warga asing kerja di gerai, pasar jika langgar polisi

Oleh AZIAN AZIZ

KLANG, 8 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak membenar warga asing bekerja di gerai dan pasar di bawah pentadbirannya jika mereka terus melanggar polisi ditetapkan.

Yang dipertuanya berkata langkah itu perlu untuk menyelesai isu warga asing berniaga secara haram dan mengambil alih perniagaan tempatan secara ‘ali baba’ di Pasar Besar Meru.

“Dasar majlis sebelum ini yang membenarkan pekerja asing di pasar perlu diubah kalau kita nak nampak perubahan yang besar.

“Saya rasa tak ada lagi pekerja asing dibenarkan di gerai milik majlis dan pasar kalau berterusan pelanggaran hak dibuat. Itu perkara utama yang perlu diubah di MPK,” kata Noraini Roslan.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Pasar Besar Meru bersama Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau semalam.

Bagaimanapun, Noraini berkata pihaknya akan berbincang dahulu dengan persatuan peniaga sebelum membuat sebarang perubahan dan memberi tempoh enam bulan untuk mencari penyelesaian.

“Perubahan itu memerlukan masa jadi kita akan beri mereka tempoh enam bulan dan selepas itu kita akan bincang semula dengan persatuan.

“Sebelum ini kita dah bertanya, mereka memang perlukan pekerja dan kebanyakan pekerja tempatan tak mahu bekerja di pasar,” ujarnya.


Pengarang :