SHAH ALAM, 9 APRIL: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan menerima bayaran zakat perniagaan lebih RM6.177 juta daripada empat syarikat termasuk agensi Kerajaan Negeri.
Bayaran kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor berjumlah RM2.6 juta dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (RM1.5 juta).
Turut menyempurna bayaran zakat bagi 2022 ialah syarikat tekstil terkemuka Jakel Trading Sdn Bhd (RM1.05 juta) dan Lembaga Juruukur Tanah Malaysia (RM1 juta).
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan merasmikan Masjid Taman Alam Jaya, di sini iaitu lokasi berlangsungnya program terbabit.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/04/Masjid4-500x354.jpg)
Dalam program sama Baginda berkenan mengagih sumbangan berjumlah RM272,000 kepada 544 penerima terdiri daripada fakir, miskin dan mualaf.
Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang turut berkenan berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib, Isyak serta sunat Terawih bersama penduduk.
Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Mufti Selangor Dato’ Prof Madya Dr Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.