Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (dua, kanan) menyampaikan Anugerah Usahawan Gempak kepada Penyanyi dan Usahawan terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin (kiri) pada Majlis Anugerah Usahawan Gempak di Stadium Malawati Shah Alam pada 9 April 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Siti Nurhaliza terima Anugerah Usahawan Gempak hasil kejayaan CTDK Holdings

SHAH ALAM, 9 APRIL: Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dipilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Gempak sempena Festival Usahawan Gempak yang berlangsung di Stadium Malawati di sini malam ini.

Disampaikan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, anugerah diterima hasil kejayaan dicatat syarikatnya CTDK Holdings Sdn Bhd.

Anugerah diperkenal kali pertama oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) itu turut memilih sembilan lagi usahawan lain sebagai tanda penghargaan dan sokongan.

Antaranya syarikat susu terkenal Farm Fresh Berhad, CUCKOO International Sdn Bhd dan Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd.

Festival sempena perayaan Aidilfitiri yang berlangsung tiga hari sejak Jumaat menghimpunkan kira-kira 150 usahawan tempatan bertujuan memudahkan orang ramai mendapat keperluan raya dengan harga murah.

Program dari jam 10 pagi hingga lewat malam itu menawarkan Baucar Rahmah berjumlah RM40,000 untuk ditebus pengunjung selain menyediakan cabutan bertuah sehingga RM20,000 termasuk motosikal, televisyen dan barangan elektrik.


Pengarang :