Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama peserta selepas majlis perasmian Bengkel Hala Tuju dan Perancangan Strategik Pendidikan Selangor di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Bengkel himpun 100 pemegang taruh, rangka hala tuju pendidikan negeri

SHAH ALAM, 10 APRIL: Kira-kira 100 pemegang taruh dan pihak berkepentingan terlibat dalam bengkel hala tuju dan perancangan strategik pendidikan Selangor anjuran Yayasan Selangor (YS) hari ini.

Bertemakan ‘Memadanikan Institusi Landskap dan Ekosistem Pendidikan Negeri Selangor’, bengkel di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menghimpunkan agensi dari enam kluster pendidikan.

Kluster itu membabitkan pendidikan rendah dan menengah, pendidikan tinggi, Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass) atau Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Turut digembleng agensi yang melaksanakan program pendidikan pra sekolah, warga emas, orang kurang upaya (OKU), sokongan pendidikan serta dana tajaan pendidikan,” menurut YS dalam kenyataan.

Terdahulu, bengkel berkenaan dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YS Eddie Ahmad Khodzali dan Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhammad.

Agensi memaklumkan bengkel itu diadakan tiga siri sehingga Mei bagi menyusun program pendidikan negeri selaras Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Malaysia Madani.

“Selaku penggerak utama Jawatankuasa Pendidikan Negeri, YS bertanggungjawab merencana agenda transformasi pendidikan selain memastikan inisiatif dilaksana sesuai visi dan misi pendidikan Selangor,” menurutnya.


Pengarang :