EXCO Hal Ehwal Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni bergambar bersama peserta sempena majlis pelancaran dan sesi pelepasan Konvoi Kembara Ramadan PREC Pesca 2023 di SACC Mall, Shah Alam pada 11 April 2023. Foto REMY ARIFIN
AGENDANASIONAL

EXCO seru agensi, syarikat berkaitan kerajaan tampil bantu lebih ramai golongan memerlukan

SHAH ALAM, 11 APRIL: Agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri ini diseru memanfaatkan keberkatan Ramadan untuk tampil memberi sumbangan kepada lebih ramai golongan memerlukan.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata ramai individu kurang mampu mengharapkan khidmat serta bantuan pihak berkenaan khususnya menjelang Syawal.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni. Foto REMY ARIFIN

“Saya minta pihak berkaitan mengambil langkah proaktif untuk turun ke masyarakat dan rumah-rumah kebajikan kerana di sana ramai yang memerlukan.

“Bukan hanya anak yatim, asnaf dan fakir miskin tetapi bekas penagih dadah, penjenayah, wanita mangsa keganasan rumah tangga serta wanita hamil luar nikah.

“Jadi kalau dapat disinergikan semua ini insya-Allah tidak ada lagi orang susah di Selangor,” katanya ditemui selepas pelepasan 80 peserta Konvoi Kembara Ramadan PKNS Real Estate Sdn Bhd (PKNS) di SACC Mall di sini hari ini.

EXCO Hal Ehawal Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd Fakru Radzi Ab Ghani (kanan) melepaskan konvoi kembara Ramadan PREC pesca 2023 di SACC Mall, Shah Alam pada 11 April 2023. Foto REMY ARIFIN

Wakil rakyat Sungai Kandis turut memuji usaha PREC yang menyantuni 201 asnaf dan anak yatim dari empat rumah kebajikan selain memberi sumbangan RM30,000 bagi meringankan perbelanjaan.

“Tahniah kepada sukarelawan yang melaksanakan kerja amal sempena Ramadan bertujuan memberi kegembiraan dan kebahagiaan kepada individu hilang ibu ayah.

“Mereka sememangnya memerlukan sedikit sentuhan kasih-sayang daripada masyarakat,” katanya.


Pengarang :