Sektor logistik berkembang pesat di Pelabuhan Klang dan akan diperluas ke Pulau Carey bagi menjana ekonomi negeri. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kementerian bangun sistem tingkat keberkesanan pelabuhan, kurangkan birokrasi

PUTRAJAYA, 11 APRIL: Kementerian Pengangkutan akan membangunkan Sistem Tunggal Maritim Malaysia (MMSW) pada suku keempat tahun ini bagi meningkatkan keberkesanan pelabuhan negara dan mengurangkan birokrasi, kata Menterinya Anthony Loke.

Ketika ini, pengusaha pelabuhan dalam negara perlu berurusan dengan 12 agensi antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia dan pihak berkuasa pelabuhan sebelum kapal dapat berlabuh, katanya.

Beliau berkata sebagai permulaan, Lembaga Pelabuhan Klang dan Lembaga Pelabuhan Johor akan membangunkan sistem tersebut menjelang suku keempat tahun ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke ditemui pemberita selepas merasmikan program ‘Arts On The Move’ anjuran Think City dengan kerjasama MRT Corporation dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang disokong oleh Yayasan Sime Darby dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di stesen MRT Pasar Seni pada 14 Februari 2023. Foto BERNAMA

“Usaha ini amat penting untuk meningkatkan daya saing negara terutama dalam bidang pelabuhan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) Bil 1/2023, di sini hari ini.

Loke berkata negara lain seperti Singapura telah lama mengaplikasikan sistem tunggal maritim dan ia menjadi antara faktor utama republik itu menjadi pilihan sebagai hab kargo negara luar, secara tidak langsung sistem yang digunakan itu menyumbang kepada ekonomi negara.

Pembangunan MMSW itu juga adalah selaras dengan ketetapan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bahawa semua negara di bawah IMO perlu membina satu sistem tunggal maritim menjelang 1 Januari, 2024 yang mengandungi kesemua maklumat berkaitan pergerakan kapal dan muatan kargo.

Loke berkata banyak syarikat luar yang menunjukkan minat menjadikan Malaysia sebagai pusat logistik serantau dan antara syarikat terkemuka yang menjadikan Malaysia sebagai hab pengedaran serantau adalah konglomerat multinasional Sweden, IKEA yang mempunyai pusat pengedaran di Pelabuhan Klang, Selangor, Marks and Spencer, Denso dan syarikat pengeluar kereta dari Jerman, BMW.

“Sebab itu kita harus tingkatkan daya saing dalam bidang pelabuhan negara dan logistik manakala pembangunan sistem maritim tunggal itu merupakan usaha ke arahnya,” katanya. – BERNAMA

 

 


Pengarang :