Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Enam ditahan terlibat kegiatan seleweng minyak diesel bersubsidi di Kedah

PUTRAJAYA, 11 APRIL: Enam lelaki termasuk tiga warga asing dipercayai sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi ditahan dalam serbuan Ops Tiris terhadap dua premis di kawasan perusahaan Sg Lalang di Sg Petani, Kedah, Ahad lepas.

Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata turut dirampas dari dua premis yang dipercayai dijadikan stor tempat penyimpanan dan pemindahan bahan berkenaan, ialah 31,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM579,050.

Beliau berkata di lokasi pertama, sebanyak 3,000 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM34,450 ditemukan di dalam sebuah tangki di premis tersebut namun tiada individu atau pekerja berada di premis berkenaan.

Enam individu itu yang berumur antara 24 dan 49 tahun ditahan di lokasi kedua serbuan ketika sedang leka melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel dari sebuah lori ke dalam tangki lain, dengan sejumlah 28,000 liter minyak diesel bernilai RM544,600 turut ditemui di premis itu, katanya dalam kenyataan hari ini.

“Modus operandi sindiket berkenaan adalah menggunakan lori tangki membawa bahan kimia untuk mengaburi pihak berkuasa dan orang awam,” kata Azman.

Selain minyak diesel, turut dirampas ialah peralatan yang digunakan untuk kegiatan berkenaan seperti pam bermotor, hos penyambung, flow meter, serta dokumen perniagaan seperti resit dan buku rekod perniagaan untuk siasatan lanjut, katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperoleh dan diedarkan.

Azman berkata berdasarkan statistik penguatkuasaan Ops Tiris bermula 1 Mac sehingga 9 April tahun ini, sebanyak 4,054 pemeriksaan dilakukan melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3.56 juta dan 1.60 juta liter minyak diesel.

– BERNAMA


Pengarang :