Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis doa selamat dan berbuka puasa di Surau Al-Karimiah, Gombak pada 12 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Khidmat van transit untuk penduduk DUN Sungai Tua bulan depan

Oleh DIANA ABD WAHAB

GOMBAK, 13 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua akan menyediakan kemudahan perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) secara percuma bulan depan.

Dato’ Menteri Besar berkata perkhidmatan itu memudahkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan tiada perkhidmatan bas Smart Selangor.

“Kita akan tambah bas dan van pengangkutan untuk bawa penduduk dari kawasan atau jalan kecil ke jalan besar laluan bas Smart Selangor supaya penduduk boleh guna perkhidmatan bas percuma.

“Kita sudah pilih satu atau dua laluan dan ia bergantung kepada kesesuaian sebelum beroperasi bulan depan atau Jun nanti,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada Selangorkini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis doa selamat dan berbuka puasa bersama 300 kariah Surau Al-Karimiah Kampung Laksamana di sini, malam tadi.

Beliau berkata perkhidmatan van transit itu menyelesaikan masalah pengguna pengangkutan awam yang terpaksa berjalan jauh untuk menggunakan perkhidmatan bas percuma.

Majlis doa selamat dan berbuka puasa di Surau Al-Karimiah, Gombak pada 12 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada 25 November lalu, Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2023 memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM25 juta bagi memperkasa pengangkutan awam bawah program Selangor Mobiliti.

Sebanyak RM22 juta diperuntuk kepada 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meneruskan pelaksanaan Bas Smart Selangor manakala RM3 juta lagi bagi pelaksanaan Selangor Mobiliti Fasa Pertama yang merangkumi perkhidmatan van DRT.

Amirudin berkata perkhidmatan berkenaan akan melengkapkan ekosistem pengangkutan awam negeri dan berfungsi berdasarkan permintaan menerusi aplikasi penghalaan pintar, bukan seperti bas henti-henti.

 


Pengarang :