AGENDAJENAYAH

Kanak-kanak perempuan melecur dipercayai bermain bunga api

PENDANG, 13 APRIL: Kanak-kanak perempuan melecur pada badan dipercayai bermain bunga api di rumahnya di Kampung Senara, Kubur Panjang, di sini, malam kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku jam 10.30 malam menyebabkan mangsa, Nur Zatil Hidayah Mohd Tarmizi, 4, melecur hampir 46 peratus badannya.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pihak hospital jam 2.45 pagi semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa serta dua abangnya berusia tujuh dan 10 tahun bermain bunga api di depan rumah mereka, lapor Berita Harian.

“Ketika itu, ibu bapa mangsa berada di dalam rumah dan dikatakan sedang menonton televisyen.

“Namun secara tiba-tiba pasangan suami isteri itu terdengar jeritan anak mereka dan berlari keluar sebelum mendapati dua anak lelaki mereka sedang cuba memadam api yang membakar tubuh mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Arriz Sham berkata, bapa mangsa yang bekerja kampung itu kemudian mengambil sebaldi air lalu menjirus badan anaknya itu sebelum membawa mangsa ke Hospital Pendang.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berikutan bapa mangsa mendakwa anak perempuannya terbakar selepas disambar api pelita minyak tanah ketika ingin menyalakan bunga api.

“Namun kejadian sebenar hanya akan diketahui selepas kita mengambil rakaman keterangan dua abang mangsa kerana buat masa ini mereka masih dalam keadaan trauma dengan insiden yang berlaku.

“Pihak hospital setakat ini masih belum memaklumkan laporan keputusan punca kecederaan sebenar mangsa sama ada disebabkan oleh minyak pelita atau mercun,” katanya.

Arriz Sham berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu ibu bapa atau penjaga mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya.


Pengarang :