AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ambil iktibar ‘raya mengejut’, elak tunai zakat saat akhir

SHAH ALAM, 13 APRIL: Umat Islam di negeri ini dinasihatkan tidak menunggu saat akhir untuk menunaikan zakat terutama zakat fitrah bagi mengelak kesesakan di tempat bayaran.

Ketua divisyen Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata orang ramai juga perlu mengambil iktibar berikutan pengumuman ‘raya mengejut’ seperti yang berlaku tahun lalu, lapor Sinar Harian.

“Saya menggalakkan pembayaran dalam talian kerana ia lebih mudah, cepat, tidak perlu beratur atau mencari parkir untuk menunaikan zakat di kaunter.

“Kaedah transaksi ini juga sudah menjadi kebiasaan dan harus di sisi syarak (bersalam atau akad bukan wajib),” kata Muhd Fikri Naim Harun seperti dilaporkan akhbar itu.

Beliau menambah kadar zakat fitrah dikekalkan antara RM7, RM14 dan RM21 sejak 2018 mengikut gred beras dimakan pada kadar timbangan satu gantang baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.

Bagaimanapun, katanya, bayaran zakat fitrah melebihi kadar minimum amat digalakkan bagi membantu lebih ramai asnaf yang memerlukan bantuan kewangan untuk kelangsungan hidup.

“Jumlah agihan bantuan persiapan awal Ramadan dan Syawal sebanyak RM30 juta diperuntuk tahun ini, namun pada masa sama golongan asnaf terus meningkat. Jika jumlah tersebut kekal, maka semakin kurang bantuan yang akan mereka terima,” kata Muhd Fikri.

 


Pengarang :