Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Ibu dalam pantang ditemui maut, kesan tikaman di leher

BACHOK, 13 APRIL: Ibu dalam pantang ditemui maut dengan kesan tikaman pada bahagian leher di Kampung Beris Panchor, Tawang, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa yang berusia 35 tahun dipercayai baharu 36 hari melahirkan anak keempatnya.

Ibu mangsa, Zuraizah Mat, 58, berkata anak perempuannya yang sebelum ini menetap di Kedah itu ditemui di bilik tidur dalam keadaan berlumuran darah.

“Kami turut menemui sebilah pisau pemotong sayur di bahagian leher mangsa,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, sebelum kejadian, anak perempuannya berada di ruang tamu sebelum menyerahkan bayinya untuk bercakap di telefon dengan suami yang berada di Kedah.

Mangsa kemudian katanya masuk ke bilik dan sempat berpesan supaya menjaga bayinya, lapor Sinar Harian.

Zuraizah berkata, dia kemudian meminta anak bongsu mengintai mangsa yang berada di dalam bilik menggunakan tangga kerana bimbangkan keselamatannya.

“Kami juga cuba pecahkan pintu bilik beberapa kali.

“Apabila berjaya masuk, kami dapati dia terbaring berlumuran darah dengan pisau tertusuk pada lehernya,” katanya.

Katanya, pada ketika itu anaknya masih bernyawa dan dia meminta ahli keluarga membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Beris Panchor.

Sebelum kejadian mangsa sering mengadu sakit di bahagian perut dan pagi semalam mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Sejak pulang dari sana dia kelihatan tertekan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu.

Beliau berkata jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk tindakan lanjut.

“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut, orang awam yang mempunyai ahli keluarga mengalami tekanan perasaan dinasihatkan untuk mendapatkan pihak bertanggungjawab bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.


Pengarang :