Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid bercakap kepada media selepas mengedarkan bubur lambuk kepada pengunjung di bazar Ramadan Rahmah Seksyen 19, Shah Alam pada 12 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Salur aduan jika penjualan mercun di tempat ganggu laluan

SHAH ALAM, 13 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meminta orang ramai menyalurkan aduan sekiranya terdapat penjualan mercun dan bunga api di lokasi tidak sepatutnya.

Datuk Bandarnya berkata peniaga perlu memohon permit menjual daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MBSA akan menentukan lokasi penjualan.

“Yang pertama kena dapat permit (daripada polis), lokasi (jualan) pihak MBSA akan tentukan. Kalau ada halangan (penjualan di bahu jalan, bawah pokok) boleh maklumkan kerana ia sudah timbulkan kacau ganggu dan ketenteraman awam.

“Jadi boleh salurkan aduan terus kepada kami dan kita ambil tindakan,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan kod promosi dan bubur lambuk kepada pengunjung bazar Ramadan rahmah Seksyen 19, di sini hari ini.

Beliau berkata pihak MBSA mempunyai kuasa menentukan lokasi penjualan tanpa ada kacau ganggu dan ketenteraman awam.

“Terutama ketika makin hampir dengan Aidilfitri minggu depan, mungkin ada yang akan jual di bawah pokok, tepi jalan dan sebagainya. Salur aduan pada kita dan tindakan akan diambil,” katanya.


Pengarang :