BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Islam majukan ilmu falak, penentu arah kiblat dan Ramadan

SHAH ALAM, 14 APRIL: Astronomi merupakan ilmu sains tabii tertua di dunia. Sebelum ilmu astronomi disusun menjadi lebih sistematik, manusia sejak 10,000 tahun lalu telah mendongak langit, memerhatikan jasad-jasad samawi untuk meramal waktu untuk bercucuk tanam dan menuai.

Malah, pada seawal sekitar 30,000 tahun lalu dijumpai manusia mengukir carta bintang pada gading gajah. Bintang-bintang yang bergerak dan pegun dijadikan inspirasi kepada manusia purba untuk bercerita tentang kewujudan dan aktiviti dewa-dewa.

Tamadun di seluruh dunia telah menyatukan pengetahuan bintang-bintang dalam aktiviti seharian mereka – daripada bercucuk tanam, pembinaan, keagamaan, politik hinggalah ke cerita-cerita fiksyen. Astronomi menjadi ilmu sains tabii tertua kerana kepentingannya dalam menguruskan keperluan harian manusia.

Sewaktu Eropah dilanda Zaman Kegelapan kerana ilmu sains dipantau dan disekat oleh gereja, dunia Islam sedang melalui zaman keemasan kerana berkembangnya ilmu pengetahuan termasuklah ilmu sains. Ilmu-ilmu sains purba dari Yunani, Mesir, Parsi dan India diterjemah secara besar-besaran, kemudian dikaji, dikritik dan dikembangkan.

Disebabkan galakan aktiviti terjemahan ini daripada khalifah, Baitul Hikmah di Baghdad telah menjadi pusat keilmuan paling aktif di dunia pada masa itu.

Dalam dunia Islam, astronomi dikenali sebagai falak yang bermaksud ilmu perbintangan. Tidak seperti tamadun Mesir Purba, Yunani dan Mesopotamia, orang Arab tidak mempunyai ilmu astronomi yang sistematik sebelum kedatangan Islam.

Mereka menentukan musim tertentu hanya berdasarkan cerapan jasad-jasad samawi. Semenjak orang Islam mula diperkenalkan dengan pelbagai pengetahuan dari luar, ilmu astronomi berkembang dengan pesat.

Fenomena gerhana matahari separa yang dirakam pada jam 1.06 tengahari pada 26 Disember 2019 di Tanjung Piai, Johor. Foto BERNAMA

Ilmuan-ilmuan Islam berjaya merumuskan bagaimana gerhana matahari terjadi, mendedahkan jarak antara Bumi dan Matahari berbeza setiap tahun, penentuan pembentukan fasa-fasa bulan berdasarkan kedudukan Matahari, meramalkan pergerakan jasad-jasad samawi termasuk planet-planet dan bintang, merumuskan konsep azimuth serta pelbagai lagi.

Sekitar 10,000 manuskrip astronomi dikarang oleh ilmuan Islam ketika Zaman Keemasan Islam.

Kiblat arah selatan

Ilmu astronomi cepat berkembang di dunia Islam, terutamanya ketika Zaman Abbasiyyah, kerana kepentingannya dalam amalan beragama.

Sebelum datangnya ilmu astronomi Yunani dan India ke Arab, orang Islam tidak mempunyai kaedah yang terperinci untuk menentukan kiblat. Mereka hanya menggunakan arah mata angin tertentu untuk menentukan kiblat.

Misalnya sebahagian sarjana Islam awal menggunakan arah selatan walau di mana mereka berada untuk menentukan kiblat kerana tunjuk ajar daripada Rasulullah SAW yang memang Mekah pada masa itu berada di arah selatan Madinah.

Apabila empayar Islam berkembang, orang Islam telah tersebar di merata tempat dan jauh daripada Mekah. Hal ini memberikan cabaran kepada penganut Islam untuk menentukan arah kiblat, malah arah Selatan tidak semestinya tunjuk ke arah Mekah bergantung di mana kita berada.

Ilmu astronomi dikembangkan dan dijadikan rujukan oleh dunia Islam setelah karya Almagest dan Geographia yang dikarang Ptolemy diterjemah. Kehadiran ilmu astronomi membolehkan penganut Islam untuk menentukan arah kiblat dengan lebih tepat.

Konsep latitud dan longitud yang dirumuskan oleh Ptolemy bersama dengan konsep trigonometri yang dirumuskan oleh ilmuan Islam digunakan. Bentuk muka Bumi iaitu sfera diambil pertimbangan dalam kaedah kiraan.

Penentuan Ramadan

Dengan kaedah pengiraan yang tepat, ilmuan Islam berjaya menyenaraikan arah kiblat di pelbagai lokasi. Pada kurun ke-14, sebanyak 2,880 koordinat ditentukan arah kiblatnya. Kesungguhan menentukan arah kiblat dengan lebih tepat telah membawa kepada perkembangan ilmu astronomi dan trigonometri.

Selain daripada penentuan arah kiblat, ilmu astronomi juga penting bagi penentuan bulan-bulan penting seperti Ramadan yang mewajibkan penganut Islam untuk berpuasa.

Timbalan Mufti Negeri Selangor Prof Madya Dr Miszairi Sitiris sedang melihat anak bulan melalui teleskop bagi menetapkan tarikh awal Ramadan di Balai Cerap Bukit Jugra Banting pada 1 April 2022. Foto BERNAMA

Walaupun Hari Raya Aidiladha berlaku pada pertengahan bulan, kita perlu tahu juga bila suatu bulan Islam itu bermula untuk mendapatkan pertengahan bulan yang tepat. Ada bulan cukup 30 hari, ada bulan hanya 29 hari.

Hal ini memberikan kesan kepada tarikh amalan penting seperti Hari Arafah dan Nisfu Syaaban. Hal ini juga yang menjadi dorongan kepada ilmuan Islam untuk mendalami astronomi. Menariknya, kebanyakan negara Islam tidak menggunakan kiraan untuk menentukan tarikh bulan-bulan Islam, tetapi menggunakan cerapan.

Jika pada waktu senja hari ke-29 anak bulan tidak dapat dicerap disebabkan faktor hujan, awan tebal dan sebagainya, hari esoknya ditentukan sebagai hari ke-30. Sebaliknya, jika anak bulan dapat dicerap, maka bermulanya bulan baharu.

Sebab itulah ada negara beraya sehari lebih awal atau lewat walau berada di zon berdekatan. Ada sesetengahnya menggunakan kiraan berbanding cerapan tetapi kaedah ini minoriti kerana berselisih dengan amalan yang dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad SAW.

Ilmu astronomi yang digagaskan oleh ilmuan Islam bukan sahaja memberikan manfaat dan memudahkan umat Islam kini, tetapi juga pernah memberikan impak yang cukup besar kepada tamadun Eropah.

Nicolaus Coppernicus yang cukup popular mempopularkan teori heliosentrik, tidak sedikit memetik ilmuan-ilmuan Islam yang menyumbang kepada pembentukan gagasannya.


Pengarang :