Antara peserta bengkel kajian pengurusan kelip-kelip Sungai Selangor anjuran LUAS pada 13 April 2023. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)
AGENSISELANGOR

LUAS laksana pelbagai usaha pelihara habitat kelip-kelip Kampung Kuantan

SHAH ALAM, 14 APRIL: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) giat melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan habitat kelip-kelip di Kampung Kuantan, Kuala Selangor sentiasa terpelihara.

Menurut agensi itu, pihaknya melaksanakan bengkel kajian pengurusan kelip-kelip Sungai Selangor untuk mendapatkan cadangan penambahbaikan dan perkongsian pengalaman bagi mengharmonikan pengurusan kelip-kelip di Selangor.

“LUAS melantik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi melaksanakan dua projek berkaitan kelip-kelip untuk menganalisis semua dapatan daripada bengkel dan dikemaskini dalam laporan akhir kajian yang akan dibentangkan 22 Mei ini.

“Diharap inisiatif ini akan berterusan bagi memastikan habitat kelip-kelip di Kampung Kuantan sentiasa terpelihara dari semasa ke semasa,” katanya menerusi Facebook semalam.

Menurut LUAS usaha itu diharap dapat memberi kesedaran kepada semua peringkat umur mengenai keperluan menjaga flora dan fauna serta kebersihan sungai untuk generasi akan datang.

“Ia selaras hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan santuari kelip-kelip Kampung Kuantan sebagai produk eko-pelancongan terkemuka dunia.

“Konservasi kelip-kelip dan ekosistem merupakan polisi keempat dalam pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Sungai Selangor, LUAS menguruskan sumber air negeri agar dapat memenuhi keperluan semua termasuk spesis kelip-kelip dan keperluan alam sekitar,” katanya.

Katanya kawasan santuari kelip-kelip Kampung Kuantan diwartakan sebagai Zon Perlindungan di bawah Enakmen LUAS 1999 pada 2009.

“LUAS memastikan baki aliran persekitaran Sungai Selangor sebanyak 300 juta liter sehari (JLH) di Kampung Kuantan dikekalkan sebagai usaha kawalan bagi memastikan spesies kelip-kelip terpelihara dan terus menjadi salah satu tarikan pelancongan utama Selangor,” katanya.


Pengarang :