Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri sebelum merasmikan Masjid Al Ma’arufiah, Parit Baru, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pada 14 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan: Umat Islam harus elak sengketa walau beza pandangan politik

SHAH ALAM, 15 APRIL: Umat Islam perlu memperkukuh persaudaraan dengan mengelak sengketa dan permusuhan meski wujud perbezaan pandangan politik atau pendekatan pentadbiran negara.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sesebuah kerajaan yang hebat boleh runtuh akibat perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Baginda mengajak semua pihak supaya mengambil iktibar dan teladan atas peristiwa keruntuhan kerajaan di beberapa negara Islam di Timur Tengah dan sejarah Kerajaan Melayu Melaka.

“Beta mengharapkan agar perbezaan ini tidak menjadi punca dan pencetus kepada perpecahan, pertelingkahan dan permusuhan di kalangan umat Islam amnya dan orang Melayu khususnya,” titah Baginda.

Baginda bertitah dalam majlis perasmian Masjid Al-Ma’arufiah Parit Baru, Sungai Air Tawar di sini pada 14 April. Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Tengku Amir Shah.

Sultan Selangor bertitah umat Islam termasuk orang Melayu harus mensyukuri nikmat keamanan dan kehidupan selesa, apatah lagi ada institusi masjid dan surau untuk beribadat bersama.

“Institusi masjid dan surau ini sewajarnya dijadikan sebagai satu platform untuk kita berbaik pakat sesama umat Islam tanpa mengira perbezaan pangkat, kedudukan, perbezaan pandangan malah fahaman politik masing-masing,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin juga mengulangi titah Baginda sebelum ini supaya memastikan masjid dan surau tidak menjadi medan dan propaganda politik kepartian.

“Beta sekali lagi ingin menegaskan bahawa masjid dan surau hendaklah menjadi tempat yang bebas dari sebarang pengaruh dan elemen politik kepartian.

“Masjid dan surau tidak seharusnya menjadi tempat membina jurang pemisah atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik.

“Kuliah-kuliah agama yang dijalankan di masjid dan surau tidak sepatutnya dijadikan medan atau gelanggang untuk menghina, mengumpat, menabur fitnah dan mencaci mana-mana pihak,” titah Baginda.


Pengarang :