Timbalan Datuk Bandara Petaling Jaya Sharipah Marhani Syed Ali (tiga, kiri) merasmikan hiasan sambutan Aidilfitri dari bahan kitar semula selepas majlis perasmian Program Jalinan Kasih 3R PJKita bersempena Aidilfitri 2023 di PJ Eco Recycling Plaza, Petaling Jaya pada 14 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ belanja RM85 juta untuk khidmat kutipan sampah, pembersihan awam

PETALING JAYA, 14 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membelanjakan sejumlah RM85 juta setahun bagi perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya berkata kos perkhidmatan itu tidak pernah menurun dan semakin meningkat.

“10 tahun lepas kita belanja dalam RM60 juta. Tapi data terkini sudah mencecah RM85 juta.

“Angka (perbelanjaan) untuk kita menguruskan sampah itu tidak pernah menurun, ia menaik,” kata Sharipah Marhaini Syed Ali ketika berucap merasmikan program Jalinan Kasih 3R PJKita MBPJ sempena Aidilfitri di PJ Eco Recycling Plaza di sini semalam.

Katanya, MBPJ melaksanakan inisiatif yang agresif dengan perancangan yang komprehensif selain sentiasa mengambil langkah terbaik untuk mengurangkan sampah.

“Semua pihak perlu mengamalkan kitar semula dan menjadikannya satu budaya. Ini juga menjadi cabaran buat MBPJ, namun kita memikirkan masa depan dan banyak lagi perlu diperbaiki ke arah mewujudkan budaya ini,” katanya.

Sebanyak 11 keluarga menerima sumbangan barangan terpakai berupa pakaian dan perabot pada program Jalinan Kasih 3R PJKita MBPJ.

Sejak 2019, 20 keluarga daripada golongan miskin dan kurang berkemampuan (B40) menerima sumbangan berkaitan hasil daripada kutipan program Spring Cleaning pada setiap perayaan utama di Malaysia.


Pengarang :