Wakil Malaysia Book of Record (MBOR) Siti Hajar Johor menyampaikan sijil pengiktirafan kepada EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han sambil disaksikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Mohd Hasry Nor Mohd sempena majlis perasmian Seminar Bulan Senibina Landskap Sedunia (WLAM) di Bukit Beruntung Golf & Country Club pada 15 April 2023. Foto Facebook MPHS
PBTSELANGOR

MPHS terima pengiktirafan, cipta nama dalam Malaysia Book of Record

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 16 APRIL: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR) atas kejayaan menganjurkan sambutan Seminar Bulan Senibina Landskap (WLAM).

Ppengiktirafan diperoleh MPHS menerusi ‘Living World and Nature’ sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang menganjurkan sambutan WLAM sejak ia dilaksana pada 3 April 2016.

Yang Dipertuanya Mohd Hasry Nor Mohd berkata pencapaian cemerlang itu adalah usaha MPHS dalam mengangkat dan memartabatkan landskap.

“Pengiktirafan ini sebagai pemangkin semangat kepada kami dalam menganjurkan program ini pada masa akan datang.

“WLAM adalah program antarabangsa dianjurkan American Society of Landscape Architect (ASLA) bersama International Federation of Landscape Architects (IFLA) sepanjang April setiap tahun,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sijil pengiktirafan itu disampaikan wakil MBOR Siti Hajar Johor kepada EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han pada majlis perasmian WLAM di Bukit Beruntung Golf and Country dekay sini.

Mohd Hasry berkata tahun ini merupakan sambutan kali ketujuh dan sambutannya amat istimewa kerana majlis pelancaran dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 1 April lalu.

Menurutnya, pada majlis sama turut dilancarkan Majlis Perbandaran Hulu Selangor Landscape Blueprint (HSLaBP) 2035 yang pertama.

“Blueprint ini akan diguna pakai sebagai garis panduan yang lengkap dalam daerah Hulu Selangor bagi rujukan pelan pembangunan landskap dan penyelenggaraan.

“Ia juga meliputi perancangan pembangunan reka bentuk landskap bagi membangunkan taman awam selari dengan kepesatan pembangunan dan kepadatan penduduk,” katanya.


Pengarang :