Oleh Diana Abd Wahab
GOMBAK, 16 APRIL: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyerahkan sumbangan berjumlah RM200 kepada peniaga di bazar Ramadan, Greenwood yang terjejas akibat hujan dan ribut Jumaat lalu.
Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan kecemasan itu diberikan kepada peniaga yang mengalami kerosakan khemah dan barangan jualan.
“Musibah yang melanda peniaga dalam kejadian ribut dua hari lalu di kawasan ini mendapat perhatian Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang kini berada di Mekah.
“Beliau arahkan MBI untuk salurkan bantuan ehsan kepada peniaga yang terjejas dalam kejadian itu,” katanya kepada Selangorkini.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kepada 34 peniaga yang terjejas di bazar Ramadan di Greenwood di sini, petang tadi.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/04/MBI-1-2-500x350.jpg)
Beliau berkata sumbangan itu adalah tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap bencana yang terjadi di kawasan tersebut.
Difahamkan kejadian itu mengakibatkan banyak khemah peniaga bazar di kawasan tersebut rosak walaupun kejadian tersebut berlaku hanya dalam tempoh lima minit.