Penyelaras DUN Gombak Setia Abdul Rahim Ahmad Kasdi (kiri) menyampaikan sumbangan ehsan kepada peniaga peniaga mangsa ribut di Bazar Ramadan Greenwood, Gombak. Hadir sama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor (kanan). Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Peniaga syukur terima bantuan MBI, tampung belanja beli peralatan rosak

Oleh Diana Abd Wahab

GOMBAK, 16  APRIL: Peniaga bazar Ramadan Greenwood yang terjejas susulan kejadian ribut Jumaat lalu bersyukur bantuan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Penjual air soya Ahmad Imran Ahmad Tasir, 31, berkata sumbangan wang tunai RM200 yang diterima dapat meringankan beban kewangan peniaga kecil yang terkesan musibah itu.

Ahmad Imran Ahmad Tasir.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Saya alami kerugian kerana khemah, perkakas berniaga dan kanvas rosak teruk dan tidak boleh digunakan. Saya terpaksa pinjam khemah rakan.

“Kejadian pada jam 3 petang juga menyebabkan banyak air jualan tidak terjual. Apapun saya redha dengan ujian Allah,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau adalah antara 34 peniaga terjejas yang  menerima sumbangan MBI yang disampaikan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor di bazar Ramadan Greenwood di sini, petang tadi.

Bagi peniaga air balang dan dodol Maziyati Mohd Nor, 55, bantuan yang diterima sedikit sebanyak menampung keperluan mengganti peralatan yang rosak.

Maziyati Mohd Nor. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Alhamdulillah saya bersyukur terima bantuan kerana ketika kejadian itu dua khemah saya rosak teruk kerana diterbangkan angin kencang.

“Saya alami kerugian kira-kira RM600 san sudah dua hari tidak berniaga. Insya-Allah esok baharu saya akan mulakan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia memaklumkan pihaknya memantau keperluan atau kerosakan dialami peniaga.

Penyelaras DUN Abdul Rahim Ahmad Kasdi berkata setiap keperluan peniaga diiteliti supaya mereka mendapat bantuan sewajarnya.

“Mereka tanggung kerugian kerana tidak dapat berniaga pada hari tersebut. Kita tidak mahu ada peniaga yang tercicir terima bantuan. Diharap  sumbangan ini serba sedikit meringkan beban peniaga terkesan,” katanya kepada Selangorkini..

Kejadian ribut yang berlaku Jumaat lalu mengakibatkan banyak khemah peniaga bazar Ramadan di kawasan tersebut rosak meskipun hujan serta ribut berlaku dalam tempoh hanya lima minit.


Pengarang :