Petugas kesihatan Klinik Selcare melakukan ujian calitan ke atas peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Alamanda Seksyen 20, Shah Alam pada 28 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Amalkan langkah berjaga-jaga, bendung peningkatan Covid-19 Aidilfitri ini

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Rakyat di negara ini diingatkan supaya sentiasa berwaspada bagi membendung peningkatan kes jangkitan Covid-19 ketika Aidilfitri ini.

Berdasarkan portal rasmi KKMNOW, setakat 8 April lalu, negara mencatatkan 7,643 kes baharu dalam tempoh 14 hari melibatkan beberapa negeri dengan Selangor antara yang merekodkan kes tertinggi iaitu 2,283 diikuti Kuala Lumpur (1,609) dan Melaka (865).

Mengambil kira situasi semasa Covid-19 itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata masyarakat masih perlu mengamalkan langkah berjaga-jaga berikutan jumlah kes dijangka meningkat khususnya menjelang Syawal.

Dr Zainal Ariffin yang juga Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia berkata masyarakat harus waspada dengan virus Covid-19 terutama varian baharu XBB yang boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan kematian.

“Langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka, mengelakkan tempat sesak, mengambil ujian Covid-19 dan menjadualkan kuarantin kendiri jika didapati positif perlu dipraktikkan oleh orang ramai,” katanya.

Beliau turut menasihati mereka yang berisiko supaya melengkapkan suntikan vaksin seperti disyorkan Kementerian Kesihatan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Kes aktif Covid-19 yang direkodkan KKM sehingga kini adalah sebanyak 13,283 kes dengan 96.2 peratus daripadanya merupakan kes yang dibenarkan kuarantin di rumah manakala selebihnya menerima rawatan di hospital berdekatan.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman mengingatkan rakyat Malaysia supaya berhati-hati ketika menyediakan makanan menjelang musim perayaan ini bagi mengelakkan sebarang risiko keracunan makanan.

Menurutnya, masyarakat juga perlu mengelakkan pengambilan karbohidrat yang tidak diperlukan seperti pengambilan minuman bergula berlebihan atau makanan yang kaya karbohidrat kerana ia kurang baik untuk kesihatan.

“Ambil makanan seimbang serta elakkan pengambilan garam atau lemak berlebihan dan janganlah kita perolok-olokkan pula mereka yang cuba mengamalkan pemakanan sihat.

“Pastikan jumlah air yang diperlukan tubuh badan mencukupi serta dapatkan rehat dan tidur yang cukup, terutama bagi mereka yang memerlukan pemanduan jarak jauh,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :