EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah beramah mesra bersama tetamu ketika Majlis Iftar Madani bersama pejabat-pejabat daerah & tanah dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 17 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

EXCO: Tunggakan elaun 373 pengerusi komuniti kampung selesai minggu ini

SHAH ALAM, 17 APRIL: Bayaran tunggakan tiga bulan elaun membabitkan seramai 373 pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Selangor selesai sepenuhnya minggu ini.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata pimpinan masyarakat menerima bayaran berjumlah RM900 selaras pengumuman kenaikan elaun daripada RM1,200 kepada RM1,500.

“Kita janjikan bayaran tunggakan (kenaikan elaun) sepatutnya awal tahun ini melalui Belanjawan Selangor 2023 dan kita membuat proses itu sebelum sambutan Syawal.

“Jadi mereka dapat tiga bulan tunggakan manakala bermula bulan ini dan seterusnya dikreditkan seperti biasa mengikut kadar elaun baharu,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau ditemui selepas majlis Iftar Madani bersama pejabat tanah dan daerah serta pengerusi MPKK di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Dalam pada itu, Borhan berkata elaun ketua kampung di Selangor paling tinggi berbanding negeri lain, sekali gus membuktikan khidmat bakti golongan terbabit dihargai.

“Saya yakin mereka melaksanakan tanggungjawab dengan baik terutama sejak negara dilanda pandemik Covid-19. Ketua kampung menyantuni masyarakat di kawasan masing-masing.

“Saya berharap mereka lebih bersemangat untuk memastikan kerajaan yang ada sekarang kekal dalam pilihan raya negeri akan datang,” katanya.

Wakil rakyat Tanjung Sepat turut memaklumkan bayaran bantuan khas kewangan sebulan elaun akan dikredit ke akaun pihak terbabit sebelum 21 April, seperti diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Menerusi Belanjawan Selangor 2023, elaun ketua kampung tradisi, bagan serta komuniti India dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500.

Kenaikan kadar terbabit melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM1.843 juta.


Pengarang :