ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin (tengah) bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching (Baju putih) bersama para pemenang Horizon Short Film Festival. Turut bersama ADN Balakong Wong Siew Ki (dua dari kiri) di PJ Live Art, Jaya One, Petaling Jaya pada 15 April 2023. Foto Pejabat DUN Bandar Utama
ADNSELANGOR

Festival Filem Pendek Horizon ketengah isu politik dan sosial, tarik 40 penyertaan anak muda

Oleh Shamz Johan

SHAH ALAM, 18 APRIL: Festival Filem Pendek Horizon (HSFF) anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama yang julung kali diadakan menarik 40 penyertaan termasuk pelajar dari luar negara.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata penganjuran festival bertujuan memberi ruang kepada anak muda menyuarakan pendapat melalui karya yang menyentuh isu-isu semasa dalam masyarakat.

“Festival ini dipengerusikan bersama produser, Jay Tan How Yi bersama komuniti belia Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Jamaliah HSFF yang diinspirasikan dari Freedom Film Fest mengetengahkan tema ‘Climate’ atau Iklim yang menonjolkan situasi semasa politik dan sosial di Malaysia.

“Matlamat HSFF untuk menggalakkan perbincangan yang bermakna dan menjelaskan keperluan mendesak untuk tindakan ke arah membina masyarakat yang mampan dan saksama,” katanya.

Ketika ditemui pada HSFF di PJ Live Art, Jaya One, Petaling Jaya, Jamaliah memberitahu penyertaan HSFF juga dibuka kepada pembuat filem bebas di bawah umur 35 tahun.

Pada festival tersebut, filem pendek ‘Garek’ oleh Haziqah Azemi meraih tempat pertama dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, karya Mohamed Shafie Seyed Mohamed Bharook berjudul The Fowl Play, tempat kedua (RM3,000) dan filem OTW oleh Adam Chong ketiga (RM1,000).

Dua filem lagi, 4-3=10 (Muhammad Ibrahim Khairulsani) dan Politik-Us (Angah Bahrain) memenangi Anugerah Khas Juri.

Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching diiringi Ahli Dewan Negeri DUN Balakong, Wong Siew Ki.


Pengarang :