Menu Rahmah yang ditawarkan Restoran Deli THAI seksyen 7 Shah Alam pada 3 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Diskaun khas bahan mentah galak lebih ramai pengusaha sertai inisiatif Menu Rahmah

SHAH ALAM, 18 APRIL: Insentif diskaun khas kepada pengusaha Menu Rahmah diperluas kepada pembekal bahan mentah sekali gus menggalakkan lagi lebih ramai pengusaha restoran menyertai inisiatif Menu Rahmah.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan berkata libat urus berkenaan insentif berkenaan akan diadakan dalam masa terdekat.

“KPDN menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pelaksanaan insentif khas kepada pengusaha Menu Rahmah melalui pemberian diskaun khas di pasar raya-pasar raya terpilih.

“Kementerian yakin melalui insentif khas ini, pengusaha-pengusaha Menu Rahmah dapat terus menyediakan Menu Rahmah kepada pengguna secara berterusan untuk jangka masa yang lebih panjang,” katanya.

Anwar dalam sidang media hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menawarkan diskaun khas harga barangan mentah seperti ayam, bawang, barang asas makanan bagi keperluan pengusaha Menu Rahmah.

Untuk rekod, setakat 15 April, sebanyak 1,706 penguasaha makanan telah mendaftar di portal Menu Rahmah dengan penyediaan menu makanan yang seimbang dan berkhasiat pada harga dibawah RM5.

Sehubungan itu, pengusaha yang ingin mendapatkan inisiatif istimewa tersebut boleh menyertai Inisiatif Menu Rahmah dengan mendaftar di portal Menu Rahmah (http://menurahmah.kpdn.gov.my).


Pengarang :