ADN Permatang Rozana Zainal Abidin (tengah) bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (kiri) beramah mesra dengan penerima sumbangan bencana rumah terbakar Kampung Bukit Belimbing pada 18 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Syawal empat keluarga terlibat kebakaran di Kuala Selangor kembali bersinar

KUALA SELANGOR, 18 APRIL: Empat keluarga mangsa kebakaran di Kampung Bukit Belimbing, Februari lalu menyifatkan bantuan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sebagai sinar Aidilfitri.

Warga emas, Siti Normah Leman, 79, berkata wang tunai RM3,000 yang diterimanya begitu meringankan beban kewangan yang terkesan akibat musibah itu.

Siti Normah Leman

“Saya tiada wang simpanan mencukupi untuk lakukan kerja baik pulih. Jadi, terpaksa pinjam wang daripada keluarga kerana hanya itu satu-satunya rumah yang saya ada.

“Dengan adanya bantuan ini, saya akan lunaskan hutang-hutang saya dengan mereka. Syukur kerana ringan sedikit beban terutamanya menjelang hari raya ini,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau antara empat keluarga yang menerima sumbangan MBI yang disampaikan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor.

Asriani Asari

Sumbangan berjumlah RM12,000 itu diserahkan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di sini hari ini. Turut hadir wakil rakyatnya Rozana Zainal Abidin.

Guru, Asriani Asari, 32, pula berkata bantuan tersebut membantunya memulakan kerja baik pulih kediaman yang musnah hampir 80 peratus.

“Ketika ini saya dan dua anak terpaksa menumpang sementara di rumah kebajikan Pondok Warga Emas Nuruh Hasanah.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sudi membantu kami. Saya anggap ia hadiah sempena Syawal yang akan menjelma tidak lama lagi,” kata ibu tunggal itu.


Pengarang :