Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 18 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pengunjung datang empat jam awal, 200 ekor ayam habis sejam di jualan murah

SHAH ALAM, 18 APRIL: Sebanyak 200 ekor ayam habis terjual dalam tempoh kurang satu jam menerusi program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 kendalian Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) di Wisma Kohijrah di sini, hari ini.

Pengurus besarnya, Mohammad Syukri Ismail berkata sambutan daripada pengunjung menggalakkan dan mereka sanggup datang awal sebelum waktu jualan dibuka pada jam 4 petang.

Pengurus Besar Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) Mohammad Syukri Ismail

“Untuk jualan di lokasi terakhir ini kita bawa 200 ekor ayam yang dijual dengan harga RM10 sahaja. Menariknya kita bawa tambahan 100 ekor ayam dara dan ikan sebagai tambahan produk kepada pelanggan.

“Ini adalah inisiatif Kohijrah dalam memastikan penduduk Shah Alam khususnya Jalan Kebun menerima manfaat dan memudahkan mereka membuat persiapan Aidilfitri,” katanya ketika ditemui dalam program itu hari ini.

Dalam pada itu, Mohammad Syukri berkata pihaknya turut membawa beberapa produk lain seperti daging segar, telur ayam, gula, minyak masak dan bihun.

“Pengunjung memberi maklum balas amat baik dan ada sanggup datang awal kerana khuatir tidak mendapat barangan diperlukan.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 18 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Contohnya, di Laman Niaga Kohijrah, penduduk datang awal empat jam dan tidak kisah beratur untuk membeli keperluan hari raya,” katanya.

Sementara itu Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 diteruskan di daerah Petaling bertempat di Pasar Tani Kekal Puchong esok dan Klang di Surau Haji Kamaruddin, Kapar pada 20 April.

Jualan yang dikendalikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu bermula dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.


Pengarang :