Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 18 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Suri rumah datang awal untuk dapatkan barangan dapur di jualan murah mega

SHAH ALAM, 18 APRIL: Bersemangat untuk mendapatkan barangan asas pada harga murah, suri rumah sanggup datang awal ke Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 bagi membeli keperluan untuk sambutan Aidilfitri hujung minggu ini.

Azimah Mohd Razikib, 37, berkata dia tiba di Wisma Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) jam 3 petang sedangkan jualan itu bermula 4 petang dan gembira kerana menjadi pelanggan pertama dalam program tersebut.

Azimah Mohd Razikib, 37. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya mengetahui jualan ini dua hari lepas dan tekad datang awal bersama anak kerana pengalaman ke jualan murah sebelum ini perlu menunggu lama dan beratur panjang.

“Alhamdulillah, saya dapat beli barangan keperluan seperti ayam dan gula pada harga murah. Memang jualan ini membantu mengurangkan kos,” katanya ditemui pada program tersebut.

Sementara itu, Rosnadia Uthman, 36, berkata dia hadir bersama suami yang pertama kali ke jualan murah itu untuk membeli barangan keperluan hari raya.

“Sebelum ini, saya memang hendak pergi tetapi barisan beratur panjang.

“Namun, kali ini saya serta suami tekad datang dan dapati orang tidak ramai seperti sebelum ini. Cuma saya harap mereka boleh lebihkan ayam dan tidak hanya terhad seekor kepada seorang pelanggan,” katanya.

Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 18 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 diteruskan di daerah Petaling bertempat di Pasar Tani Kekal Puchong esok dan Klang di Surau Haji Kamaruddin, Kapar pada 20 April.

Jualan dikendalikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu bermula dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.


Pengarang :