EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian (kanan) bersama Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Hasrolnizam Shaari (tengah) meninjau lokasi dipercayai punca berlakunya pencemaran bau Sungai Semenyih di sebuah kilang di Jalan Rinching Hulu, Semenyih, Kajang pada 23 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri kawal ketat aktiviti di rizab sungai, elak pembangunan cemari air

SHAH ALAM, 19 APRIL: Pembangunan pesat pelbagai sektor ekonomi di lembangan Sungai Buloh menyumbang kepada peningkatan efluen, sekali gus menurunkan kualiti airnya.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian memaklumkan aktiviti lain seperti kerja tanah turut meningkatkan kekeruhan air selain penempatan agak padat berhampiran rizab sungai.

Beliau berkata lebih 30 loji rawatan kumbahan yang beroperasi selari pembangunan perumahan dan premis komersil juga dikesan melepaskan aliran air limbah ke sungai.

“Kewujudan ladang pertanian dan kawasan penternakan dalam lembangan ini turut menyumbang kepada penurunan kualiti air sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian ditemui pada program sambutan Hari Alam Sekitar 2022 peringkat Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Menara MPAJ, Pandan Indah pada 3 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Berdasarkan rekod inventori aktiviti guna tanah, sebanyak 18 peratus aktiviti penternakan dan akuakultur berpotensi melepaskan efluen dan berisiko kepada permasalahan kualiti air jika tiada sistem rawatan yang efisien.”

Berikutan itu, Loy Sian berkata Selangor melaksanakan beberapa langkah kawalan pencemaran di Sungai Buloh bagi memastikan kualiti air di lembangan sungai itu terus terpelihara.

Langkah diambil seperti berikut:

1. Memantau dan mengambil sampel secara berkala di tapak untuk mengenal pasti dan mengemas kini inventori punca pencemaran

2. Membangunkan Pelan Tindakan Sungai Buloh pada 26 April 2016 dan tindakan bersepadu bersama agensi teknikal, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan

3. Mengawal lesen kemasukan atau pelepasan bahan pencemar dengan had parameter ditetapkan bawah Peraturan-Peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Selangor) 2012

4. Mengawal aktiviti melibatkan sungai dan badan air melalui kebenaran bertulis Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) selaras Peraturan-Peraturan Aktiviti Pengubahan Sumber (Selangor) 2013

5. Menjalankan kajian pemetaan dan inventori aktiviti guna tanah di rizab Sungai Buloh pada 2019 bagi mengenal pasti aktiviti yang berpotensi menyebabkan pencemaran

6. Pembangunan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Buloh 2021 oleh Jabatan Pengairan Selangor yang mengambil kira pelbagai aspek termasuk kuantiti dan kualiti air

 


Pengarang :