Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Pasar Tani Kekal Puchong pada 19 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ayam dan telur paling laris, jualan mega terus dapat sambutan ramai

SUBANG JAYA, 19 APRIL: Kebanyakan barangan asas yang dibawa ke Jualan Mega Ehsan Aidilfitri di Pasar Tani Kekal Puchong di sini hari ini habis terjual dalam tempoh kurang tiga jam.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) berkata orang ramai beratur seawal 6 pagi untuk mendapatkan produk yang dijual murah 30 peratus berbanding pasaran meski program bermula 7 pagi.

Pegawainya Mohd Sukri Rahim memaklumkan tiga barangan iaitu 1,300 ekor ayam, satu tan daging dan 1,200 papan telur ayam paling dinanti pengunjung dan terjual dalam tempoh singkat.

Pegawai Fama Daerah Petaling Mohd Sukri Abdul Rahim bercakap kepada Media Selangor ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Pasar Tani Kekal Puchong pada 19 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Jualan kali ini memfokuskan barangan keperluan raya. Jadi kita bawa ayam, daging, telur, beras, minyak masak selain sayur-sayuran dan buah-buahan. Sambutan sangat luar biasa,” katanya.

Beliau berkata Fama turut membantu mempromosikam program anjuran Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) supaya lebih ramai rakyat mendapat manfaat.

“Barangan asas yang dijual diselaras di pusat operasi Fama di Dengkil dan Puchong sebelum diagih ke tempat Jualan Mega Ehsan Aidilfitri,” katanya menambah program sama berlangsung di Meru esok.

Jualan mega sempena Aidilfitri yang dilaksana di lebih 23 lokasi hingga esok menawarkan pelbagai barangan asas antaranya 36,700 ekor ayam (RM10 seekor) dan 12,000 papan telur (RM10 sepapan).

Turut dijual ialah 9,900 kampit beras berharga RM10 setiap satu, 6,100 botol minyak masak (RM25), 12,100 pek daging (RM10), tepung gandum, gula, sos cili, sardin tin dan biskut.


Pengarang :