Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 19 APRIL: Seramai 500 penduduk berpendapatan rendah (B40) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah menerima dua ekor ayam bagi menyambut Aidilfitri hari ini.
Wakil rakyatnya Izham Hashim berkata menerusi program Prihatin Aidilfitri itu pihaknya turut menyumbangkan bahan masakan lain seperti santan, tepung, gula, kacang tanah dan kerisik secara percuma.
“Bantuan ini adalah program rutin setiap tahun. Saya berharap bantuan disediakan ini dapat meringankan beban serta memberi sedikit kegembiraan menyambut hari raya,” kata Izham menerusi Facebook.
Dalam program yang diadakan di Dewan MPAJ Taman Cempaka itu, beliau turut menitipkan pesanan agar penerima sentiasa menjaga keselamatan, kesihatan dan berhati-hati memandu ketika pulang ke kampung halaman.