Peniaga, Rohana Yusof, 43, menggoreng kerepek pisang yang ditempah pelanggan di Pasar Tani Kekal Puchong pada 19 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Laba peniaga kecil, kerepek pisang tanduk laris menjelang Syawal

SUBANG JAYA, 19 APRIL: Seorang peniaga kecil di Pasar Tani Kekal Puchong di sini menganggap jualan pelbagai jenis kerepek pisang yang laris sebagai rezeki besar buatnya menjelang Syawal.

Rohana Yusof, 43, yang berniaga di pasar terbabit sejak lima bulan lepas berkata keadaan itu menyebabkan dia tidak menang tangan menyiapkan tempahan terutama kerepek pisang tanduk.

Beliau berkata perniagaan yang diusahakan bersama suami meraih hasil jualan antara RM1,000 ke RM2,000 sehari dan terus mendapat permintaan meski Aidilfitri bakal diraikan tidak lama lagi.

“Penangan kerepek musim raya sangat luar biasa, sampai sekarang masih ada tempahan masuk. Ada yang tempah masih belum terima lagi berikutan sukar mendapat bekalan pisang tanduk.

“Sebaik ada bekalan, kita akan buat segera dan hantar kepada pelanggan yang menempah awal, insya-Allah sebelum raya,” katanya ditemui pada program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri hari ini.

Rohana berkata kerepek lain yang dijual ialah pisang abu dan nangka, bawang dan salai, yang turut boleh didapatkan di pasar malam Puncak Alam, Plaza Masalam dan Datum Jelatek, Ampang.

“(Proses pembuatan) sedikit penat sebab kerepek ini dibuat secara manual tanpa mesin,” katanya yang berhasrat membuka kedai di sekitar pasar tani itu dalam tempoh terdekat.


Pengarang :